GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau mencabar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH).Beliau menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian, apatah lagi menggunakan perkataan ‘cabar’ atau ‘mencabar’ mana-mana parti atau gabungan politik seperti yang didakwa menerusi satu hantaran di laman sosial.Sebaliknya, beliau menjelaskan ucapan yang disampaikan pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Tanjong pada 15 November lalu adalah seruan kepada PH supaya segera memperkukuh persediaan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) akan datang.Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan gabungan berkenaan terus mendapat sokongan rakyat, sekali gus mempertahankan tampuk pemerintahan kerajaan negeri Pulau Pinang.Penafian Kon Yeow itu dibuat dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.Menerusi hantaran sama, Kon Yeow berkongsi ucapan penuh beliau berkenaan isu itu yang disampaikan pada majlis sambutan rumah terbuka berkenaanKon Yeow berkata, kenyataannya telah diputar belit menerusi tajuk ‘Chow Kon Yeow Cabar BN-PN Rampas Pulau Pinang Jika Mahu ‘Kuburkan’ DAP di Malaysia’ yang disifatkan tidak menggambarkan maksud sebenar ucapannya.Beliau berkata, keputusan PRN Melaka baru-baru ini seharusnya menjadi bahan penilaian serius buat PH dan DAP dalam memastikan kedua-duanya kekal relevan serta terus mendapat kepercayaan rakyat."Susulan keputusan Pilihan Raya Negeri di Melaka baru-baru ini, kita harus mengkaji sedalam-dalamnya bagi memastikan kita dalam PH dan DAP masih relevan, masih mendapat sokongan serta dapat meneruskan perjuangan dalam arena politik Malaysia."DAP bukan parti baharu. Parti ini sudah berusia 60 tahun dan sepanjang tempoh itu kita mengalami pelbagai turun naik, namun tidak pernah berputus asa dalam perjuangan," katanya.Beliau turut menjelaskan DAP akan terus memainkan peranan dalam landskap politik negara sama ada sebagai parti kerajaan mahupun pembangkang termasuk ketika berdepan situasi kekurangan sokongan rakyat.Mengulas perkembangan politik semasa, Kon Yeow berkata, kerjasama antara BN khususnya UMNO dengan PN dalam beberapa PRN kebelakangan ini menunjukkan perkembangan yang tidak boleh dipandang ringan oleh PH."Kerjasama berkenaan yang membawa mesej perpaduan orang Melayu bagi memperkukuh kedudukan politik kelompok itu telah menunjukkan kesan terhadap keputusan pilihan raya," ujarnya.Terdahulu, tular dalam media sosial kenyataan yang didakwa dibuat Kon Yeow yang mencabar BN-PN merampas Pulau Pinang jika mahu kuburkan DAP di Malaysia.Dalam pada itu, beliau turut mengakui situasi politik terkini menyaksikan parti yang bekerjasama di peringkat Persekutuan boleh bertukar menjadi lawan di peringkat negeri, sekali gus menjadikannya sebagai satu senario baharu dalam politik Malaysia walaupun perkara itu bukan s