KUALA LUMPUR: Zetrix AI Bhd mencadangkan penyelesaian bayaran tunggakan secara alternatif merangkumi bayaran pendahuluan RM100 juta sebelum dilantik semula bagi melaksanakan perkhidmatan kutipan hasil bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi surat bertarikh 5 November lalu.
Beliau berkata, baki tunggakan sebanyak RM214 juta pula akan dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh enam bulan melalui enam bayaran ansuran bulanan sama rata berjumlah RM35.67 juta.
"Cadangan penyelesaian ini telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan menerusi surat MOT bertarikh 10 November 2026 untuk mendapatkan hala tuju selanjutnya," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi MOT di Dewan Rakyat hari ini.






