TAWAU: Seorang pegawai ESSCOM mendakwa berdepan tekanan ketika disiasat berhubung kes pembunuhan pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, termasuk dakwaan isterinya dipukul manakala tiga anak kecil mereka dibawa ke IPD Tawau bagi memaksanya mengikut naratif siasatan.

Inspektor John Kennedy Anak Sanggah, 47, yang juga saksi plaintif ke-13, dalam pernyataan saksinya berkata kejadian anak-anak mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berlaku pada 6 Februari 2023, ketika beliau dan isterinya, Vivien Fabian, masih dalam tahanan reman.

Menurutnya, ketika itu tiga anak mereka masing-masing berusia enam tahun, tiga tahun dan sembilan bulan.

Beliau mendakwa tindakan berkenaan bertujuan memberi tekanan emosi kepada diri dan isterinya supaya mengikut kehendak pasukan penyiasat dan menerima naratif yang dikemukakan kepada mereka.