Tawau: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Datuk Mat Zaki Md Zain mendakwa kehilangan peluang kenaikan pangkat terakhir ke Deputi Komisioner Polis (DCP) sebelum bersara susulan penangkapan dan pertuduhan dihadapinya pada 2023.
Beliau berkata, berdasarkan rekod perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), kenaikan pangkat diterimanya sebelum ini berlaku secara konsisten dalam tempoh kira-kira tiga tahun.
Ketika menyambung keterangan pada sesi pemeriksaan semula dalam perbicaraan saman sivil RM190 juta membabitkan bekas pegawai dan anggota ESSCOM hari ini, beliau menjelaskan rekod kenaikan pangkatnya boleh diakses melalui sistem e-Siar PDRM, walaupun dokumen berkenaan tidak dikemukakan di mahkamah.









