Manchester: Keupayaan membentuk pemain muda menjadi bintang bola sepak dunia antara kelebihan yang diharapkan mampu dibawa Mauricio Pochettino bagi mengembalikan kegemilangan Manchester United.

Pengendali dari Argentina itu mempunyai rekod cemerlang dalam menggilap bakat muda sepanjang karier kejurulatihannya, termasuk ketika membimbing Tottenham Hotspur, Southampton dan Paris Saint-Germain (PSG).

Antara hasil paling menyerlah ialah penyerang England, Harry Kane yang berkembang menjadi antara pemain terbaik dunia selepas mendapat kepercayaan Pochettino ketika bersama Tottenham.

Ketika mula mengendalikan Spurs, Kane hanya merekodkan lima gol senior sebelum diberikan peluang lebih besar oleh Pochettino pada musim pertamanya.