LONDON: Manchester United mengumumkan pelantikan Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu kelab itu, hari ini, susulan pemecatan Michael Carrick.

Kelab berkenaan dalam kenyataan mengesahkan pengendali skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS) yang pernah membimbing Tottenham Hotspur dan Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan memulakan tugas pada 18 November ini.

"Kelab mencapai persetujuan dengan Persekutuan Bolasepak AS untuk melepaskan Mauricio dan barisan kejurulatihannya selepas mereka menyelesaikan tanggungjawab bersama skuad kebangsaan," menurut kenyataan United.

United turut menyifatkan pengendali dari Argentina itu terkenal dengan corak permainan berintensiti tinggi dan menyerang, selain komited membentuk pasukan yang mantap serta mempunyai rekod cemerlang dalam membangunkan kemampuan individu pemain.