KOTA TINGGI: Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes kecurian beg tangan di Medan Selera Sanggar, Kota Tinggi di sini, yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah gerai makanan di medan selera berkenaan, pada jam 3.58 petang.
Menurutnya, kejadian membabitkan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun yang juga pekerja gerai berkenaan.
Katanya, mangsa yang berada di hadapan gerainya didatangi seorang lelaki tidak dikenali mengambil beg tangan yang diletakkan di atas meja.








