Saya pernah menjadi guru dan mengajar bidang automotif di sekolah menengah vokasional. Seperti bidang teknologi lain, perkembangan teknologi automotif sentiasa berubah. Ada sahaja teknologi baharu diperkenalkan sehingga saya sendiri tidak terikut dengan perkembangannya yang laju.

Sebagai guru, tentulah kita wajib menguasai ilmu yang diajar. Ini menunjukkan bahawa kita adalah guru yang berwibawa. Ini akan membuatkan anak murid yakin kepada kita. Pernah ada anak murid bertanyakan suatu maklumat agak ke hadapan yang saya sendiri tidak tahu jawapannya. Saya terus mengaku yang saya belum tahu dan berjanji akan mencari jawapannya sesegera mungkin.

Bagi saya tidak ada salahnya seorang guru mengaku tidak tahu kerana guru juga manusia yang sentiasa terus belajar. Yang salah ialah apabila kita mereka-reka jawapan semata-mata kerana malu hendak mengaku tidak tahu. Lebih buruk jika kita menjawab dengan penuh yakin, sedangkan apa yang kita sampaikan itu tidak benar. Ini adalah satu pendustaan.