Manila: Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi dijangka mencadangkan kerangka kerjasama baharu bagi menjamin keselamatan bekalan minyak bersama kebanyakan negara anggota ASEAN dan Australia pada Selasa, susulan kebimbangan berterusan terhadap bekalan tenaga akibat konflik berpanjangan di Asia Barat, lapor Kyodo News.
Menurut kerajaan Jepun, Takaichi akan mengemukakan inisiatif 'Asia Oil Security Task Force' sebagai sebuah badan sukarela untuk memperkukuh usaha kerjasama pada Sidang Kemuncak Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) di Manila.
AZEC adalah kerangka kerjasama penyahkarbonan yang diperkenalkan oleh Tokyo.
Inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) yang berpangkalan di Jakarta, bertujuan menyokong kerjasama tenaga serantau sedia ada, termasuk memperkukuh simpanan stok minyak sebagai persediaan menghadapi kecemasan, menurut kerajaan Jepun.









