Pengerusi Mas Ermieyati Samsudin kata penyertaan fasa rintis MediAsas terhad kepada pekerja GLC dan syarikat insurans yang sememangnya telah mempunyai perlindungan perubatan daripada majikan.KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) melahirkan kebimbangan terhadap jumlah penyertaan dalam fasa rintis MediAsas di Lembah Klang yang disifatkan terlalu kecil dan tidak mewakili keseluruhan pengguna perkhidmatan kesihatan swasta.

Pengerusi Mas Ermieyati Samsudin berkata hanya 1,600 individu menyatakan minat terhadap MediAsas berbanding 9.9 juta individu yang bergantung kepada perkhidmatan kesihatan swasta, iaitu kurang daripada 0.1%.

Beliau berkata penyertaan fasa rintis itu juga terhad kepada pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat insurans yang sememangnya telah mempunyai perlindungan perubatan daripada majikan.