KUALA LUMPUR: Smart Nation Expo 2026 menjadi platform menghubungkan penyedia teknologi dengan pemain industri dan pembeli bagi mempercepat penggunaan penyelesaian digital dalam sektor perniagaan serta pembangunan bandar pintar.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak anak Kumbong, berkata pameran itu memberi peluang kepada syarikat teknologi memperkenalkan penyelesaian masing-masing, manakala pemilik perniagaan dapat menilai serta mengenal pasti teknologi yang bersesuaian dengan keperluan operasi mereka.

Katanya, usaha memperluas penerimaan teknologi penting bagi memastikan pembangunan ekonomi digital negara tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, sebaliknya diterjemahkan kepada penggunaan sebenar dalam industri dan masyarakat.