KUALA LUMPUR: Malaysia dan Perancis memperkukuh hubungan pertahanan dua hala menerusi tiga dokumen kerjasama strategik, selain cadangan perolehan serta pemodenan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui kenyataan berkata, kerjasama itu merangkumi pembangunan keupayaan pertahanan, keselamatan serantau dan perlindungan maklumat terkelas serta memperluas pembabitan industri pertahanan kedua-dua negara.

"Tiga dokumen berkenaan merangkumi Pelan Hala Tuju Keupayaan Pertahanan Dua Hala dan Perkongsian Industri Pertahanan, Surat Niat Penubuhan Pusat Serantau bagi Menangani Ancaman Hibrid dan pindaan Perjanjian Keselamatan Maklumat Terkelas 1997.

"Semua dokumen berkenaan dimeterai sempena pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, hari ini," katanya.