JAKARTA: Polis Indonesia memecat seorang pegawai kanannya selepas didapati terbabit dalam komplot memintas komunikasi telefon Presiden Prabowo Subianto serta beberapa pegawai kerajaan, aktivis dan wartawan tanpa kebenaran.

Jurucakap polis, Trunoyudo Wisnu Andiko, berkata keputusan itu dibuat selepas bekas Inspektor Jeneral Polis, Eko Hadi Santoso, menjalani prosiding pendengaran etika selama hampir sembilan jam berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penggunaan kemudahan polis tanpa waran sah.

Beliau berkata, Eko dikenakan tindakan pemecatan tidak dengan hormat daripada pasukan polis, namun pegawai berkenaan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Menurut Trunoyudo, Eko bersubahat dalam kegiatan pintasan komunikasi secara haram dengan menyalahgunakan akses serta peralatan milik polis tanpa mengikut prosedur dan secara tidak profesional.