KUALA LUMPUR: Pinjaman Felda masih dijamin kerajaan adalah berjumlah RM5.88 bilion setakat 30 September lalu.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, jumlah tersebut adalah selepas mengambil kira bayaran prinsipal sebanyak RM3.04 bilion.

Dalam masa yang sama, MoF turut memaklumkan kerajaan telah meluluskan jaminan berjumlah RM9.9 bilion kepada Felda untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan tempatan dan pasaran modal bagi membiayai projek, pelaburan serta Pelan Pemulihan Felda.

“Daripada kelulusan jaminan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM9.9 bilion, Felda telah membuat pembiayaan yang dijamin Kerajaan Persekutuan sebanyak RM8.92 bilion, manakala baki sukuk berjaminan kerajaan yang masih belum diterbitkan adalah sebanyak RM980 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.