MELAKA: Seorang suri rumah setia menjaga suaminya yang terlantar sakit di Hospital Melaka sejak 41 hari lalu selepas lelaki berkenaan mengalami pendarahan otak akibat serangan sawan.
Sabrina Mohd Saufi, 42, sanggup mengetepikan penat dan berjauhan dengan empat anaknya yang kini tinggal bersama adiknya di Banting, Selangor, demi memastikan suaminya, Mohd Azmi Ag Ahmad, 46, terus mendapat penjagaan.
Lebih menyedihkan, suaminya kini hanya mampu menggerakkan mata dan tidak boleh bercakap selepas menjalani prosedur tebuk pada leher, namun keadaan itu tidak mematahkan harapan Sabrina untuk melihat suaminya kembali pulih.
Ibu kepada enam anak itu berkata, suaminya mula mengalami sawan ketika sedang menunaikan solat Isyak sebelum pemeriksaan mendapati, terdapat pendarahan di bahagian kiri otaknya.









