AFP
PARIS: Kapten Switzerland, Granit Xhaka didenda CHF150,000 (RM738,000) selepas mengaku menggunakan sijil vaksin COVID-19 palsu ketika pandemik melanda sewaktu beraksi bersama Arsenal.
Bagaimanapun, kapten Sunderland berusia 34 tahun itu tidak perlu membayar denda berkenaan dengan syarat dia tidak melakukan kesalahan lain sepanjang tempoh percubaan dua tahun.
"Saya dijatuhkan hukuman melalui keputusan ringkas kerana mendapatkan sijil palsu, dengan denda bersyarat sebanyak 50 kadar harian, setiap satu bernilai CHF3,000 (RM14,760), serta tempoh percubaan dua tahun.
"Saya menerima keputusan itu dan bertanggungjawab atas tindakan saya. Terima kasih atas banyak mesej sokongan yang diterima sejak beberapa minggu lalu. Mesej itu amat bermakna buat saya," tulis Xhaka di Instagram.








