SELEPAS lapan tahun mencetuskan fenomena, kisah keluarga kaya-raya Crazy Rich Asians, bakal kembali menghiasi layar hiburan menerusi sebuah siri televisyen terbitan HBO.

Lebih mengujakan, siri kesinambungan filem komedi romantik Crazy Rich Asians tersebut bakal menampilkan semula barisan pelakon asal termasuk Constance Wu, Henry Golding, Ronny Chieng dan Michelle Yeoh, sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap watak-watak ikonik yang pernah disaksikan sebelum ini.

Siri berdurasi sejam bagi setiap episod tersebut dijadualkan memulakan penggambaran pada 2027, dengan Constance dan Henry kembali menghidupkan pasangan utama, Rachel Chu dan Nick Young, manakala Ronny mengulangi watak Eddie, iaitu sepupu Nick.