PENAMPANG: Seramai 30 penduduk membabitkan tiga lokasi daerah ini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Penampang malan tadi selepas kediaman mereka terjejas banjir.
Mangsa terdiri daripada 14 penduduk kawasan Loji Rawatan Air Kasigui; 10 penduduk Kampung Penampang Proper dan enam lagi dari Kampung Kibabaig.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan, berkata operasi pertama dijalankan di belakang Loji Rawatan Air Kasigui selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.38 malam.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mereka mendapati 14 mangsa terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita dewasa serta enam kanak-kanak memerlukan bantuan untuk keluar dari kawasan terjejas.






