BACHOK: Terjebak dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah sejak usia 19 tahun, seorang wanita bukan sahaja berdepan hukuman penjara sebanyak tiga kali, malah terpaksa berdepan realiti membesarkan tiga anak luar nikah hasil hubungan dengan pasangan berbeza.

Iza (bukan nama sebenar), 33, yang kini hamil enam bulan mengakui tekanan kewangan, kemiskinan serta keretakan hubungan keluarga menyebabkan dia kembali ke kancah dadah meskipun pernah menjalani hukuman penjara pada 2020, 2023 dan 2024.

Katanya, dua anaknya masing-masing lapan bulan dan dua tahun kini berada di bawah jagaan ibunya, manakala ketika ditahan pihak penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada April lalu, dia baru sebulan mengandung.