KUALA TERENGGANU: Seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) mental maut selepas dilanggar kereta ketika berada dalam keadaan terbaring di tengah jalan di Jalan Jambatan Sultan Mahmud, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima maklumat jam 2.15 pagi.

Menurutnya, dalam kejadian jam 1.15 pagi, mangsa berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Kemalangan berlaku ketika sebuah Proton Waja dipandu lelaki berusia 28 tahun sedang bergerak dari arah Gong Badak menghala ke Kuala Berang.

Apabila tiba di lokasi, kenderaan itu tiba-tiba melanggar mangsa yang berada di tengah jalan dalam keadaan terbaring.