TIDAK semua hobi kekal sekadar aktiviti mengisi masa lapang.

Bagi Syasya Aina Rizal, minat yang bermula dengan sekadar menyolek wajah rakan-rakan ketika di universiti, akhirnya menjadi titik tolak kepada pembinaan kerjaya profesional dalam industri kecantikan.

Hari ini, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu bukan sahaja bergelar pegawai perhubungan awam, malah dikenali sebagai jurusolek, pendidik solekan dan pencipta kandungan digital dalam dunia kecantikan.

Ketika masih bergelar pelajar UiTM, wanita berusia 26 tahun itu aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk memegang jawatan sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).