syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Kejayaan filem Chelot meraih kutipan luar biasa sebanyak RM19.5 juta selepas empat minggu ditayangkan di pawagam disifatkan pelakon, Nadhir Nasar sebagai pencapaian paling membanggakan sepanjang karier lakonannya.
Nadhir, 28, berkata angka berkenaan adalah kutipan tertinggi pernah dicatatkan menerusi filem yang dibintanginya setakat ini.
"Alhamdulillah, Chelot berjaya mengumpul RM19.5 juta. Saya sangat gembira kerana ini kali pertama filem lakonan saya meraih kutipan sebanyak ini. Sebelum ini ada yang okay, tetapi tidak setinggi Chelot," katanya kepada Harian Metro.
Nadhir ketika ditemui di set penggambaran filem terbaharunya, Goreng, di sini berkata, impak positif daripada kejayaan itu turut membawanya ke satu fasa baharu apabila menerima pelbagai tawaran naskhah yang lebih segar daripada beberapa syarikat produksi.






