PETALING JAYA – Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, isu doktor kontrak akan dinoktahkan.

Beliau berkata, sejak 2023, kerajaan Madani telah melantik secara tetap lebih 15,000 doktor kontrak termasuk 4,000 pada tahun ini.

“Bagi tahun 2027, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan ke jawatan tetap.

“Bermakna selepas ini, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap pegawai perubatan,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.

Anwar berkata, peruntukan Kementerian Kesihatan menokok kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion sebelum ini. – KOSMO! ONLINE