KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi bayangan mengenai perkembangan positif berhubung status perjawatan pegawai perubatan secara kontrak.
Beliau berkata, penamatan perkhidmatan kontrak itu kini dalam proses pertimbangan dan dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
“Perlu saya sebutkan, kami dalam proses yang semua sedia maklum, walaupun akan dibuat pengumuman oleh Yang Berhormat Perdana Menteri dalam waktu yang terdekat.
“Kami mengharapkan apa yang saya cita-citakan sejak awal saya kembali mengemudi KKM buat kali kedua ini adalah untuk menamatkan servis kontrak ini dan ini telah pun dipertimbangkan. Mungkin kita kena sedikit sabar menanti pengumuman yang bakal dibuat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.










