KUALA LUMPUR: Pasaran saham Malaysia kekal stabil meskipun berdepan turun naik susulan perubahan geopolitik global.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keadaan itu mencerminkan keyakinan terhadap kestabilan ekonomi negara selain dasar kerajaan yang telus serta mesra pelaburan.
“Kalau kita lihat pasang surut pasaran, kadang-kadang saham naik dan kadang-kadang jatuh kerana banyak perkara berlaku di dunia.
“Sekarang kita berada dalam fasa di mana geopolitik dunia banyak berubah. Namun yang penting, kalau kita lihat pasaran saham di Malaysia, kita stabil. Ia tidak bergerak terlalu tinggi atau jatuh dengan mendadak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai dakwaan kecelaruan penguatkuasaan yang boleh membuka ruang kepada amalan menyerupai mafia korporat sehingga menakutkan komuniti perniagaan, khususnya pelabur asing sekali gus mencemarkan reputasi Malaysia.








