WASHINGTON: Presiden, Donald Trump akan menyampaikan anugerah sains tertinggi Amerika Syarikat (AS) kepada sekutu rapatnya, Elon Musk dan beberapa tokoh teknologi lain dalam satu majlis pada Khamis, menurut Rumah Putih.

Pengasas bersama Google, Sergei Brin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Lisa Su turut menerima Pingat Sains Kebangsaan pada sidang kemuncak Sains: Zaman Keemasan Baharu

Taikun komputer, Michael Dell dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella pula akan menerima Pingat Teknologi dan Inovasi Kebangsaan iaitu anugerah tertinggi dalam bidang berkenaan.

“Pentadbiran Trump berterima kasih atas sumbangan pemimpin luar biasa ini dalam bidang sains dan teknologi. Penerima anugerah ini membantu memastikan AS terus menerajui dunia dalam inovasi,” kata jurucakap Rumah Putih, Liz Huston dalam kenyataan kepada AFP pada Rabu.