Petaling Jaya : Demi memberikan persembahan terbaik dan mendalami latar belakang watak Bayan, dua pelakon, Mimi Fly dan Nadia Aqilah mengambil inisiatif sendiri untuk terbang ke Solo, Indonesia.
Inisiatif yang diambil menggunakan perbelanjaan sendiri itu menjadi bukti komitmen tinggi mereka bagi menjayakan pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical yang bakal dipentaskan bermula 31 Oktober hingga 15 November ini.
Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham berkata, keputusan untuk berguru di Solo dibuat selepas mereka menyertai bengkel yang dianjurkan oleh pihak Enfiniti Productions, di mana mereka merasakan ilmu yang diperoleh perlu diperdalamkan lagi.
"Ini pengalaman pertama saya dalam teater muzikal dan semuanya adalah benda baharu. Jadual dan latihan intensif sepanjang dua hingga tiga bulan ini sangat mencabar, tetapi ia mengubah saya menjadi lebih bersedia.






