Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mengimbangi perbelanjaan negara dengan usaha mengurangkan defisit fiskal serta memperkukuh kutipan hasil bagi memastikan kemampanan kewangan negara dan mengelakkan beban hutang terus ditanggung generasi akan datang.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustaza Mansur berkata, usaha mengawal defisit perlu dilaksanakan seiring dengan langkah meningkatkan hasil negara bagi memastikan perbelanjaan kerajaan kekal mampan dalam jangka panjang.

Beliau berkata, defisit fiskal yang tinggi akan meningkatkan keperluan kerajaan untuk berhutang serta menambah beban pembayaran faedah yang akhirnya boleh menjejaskan kedudukan kewangan negara.