KUALA LUMPUR: Sebanyak 200 anak pokok bakau ditanam di Taman Alam Kuala Selangor menerusi kerjasama Hektar Asset Management Sdn Bhd dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) bagi menyokong pemulihan habitat serta daya tahan ekosistem pesisir.

Hektar Asset Management dalam satu kenyataan berkata, program pada 23 September lalu membabitkan 40 kakitangan daripada syarikat pengurusan aset dan hartanah Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), dengan penanaman dilaksanakan di bawah bimbingan MNS.

Anak pokok yang ditanam di kawasan hutan simpan itu akan terus dipantau dan dijaga MNS bagi menyokong pertumbuhan serta kelangsungan hidupnya dalam jangka panjang, selain membantu memulihkan kawasan habitat yang mengalami kemerosotan.