RIYADH: Arab Saudi menafikan dakwaan berlaku cubaan pengeboman berani mati di Masjidil Haram, Mekah, selepas seorang lelaki ditahan kerana mengganggu jemaah dan mencetuskan panik.
Pihak berkuasa keselamatan berkata lelaki itu ditahan selepas mengganggu orang awam serta menimbulkan ketakutan dan panik sebelum tindakan segera diambil terhadapnya.
“Pihak berkuasa keselamatan mengesahkan bahawa dakwaan yang tersebar berhubung kejadian itu adalah tidak benar,” menurut kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X pada Jumaat.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak mendedahkan identiti atau maklumat lanjut mengenai lelaki berkenaan.
Sebelum ini, dakwaan yang tersebar di media sosial mendakwa seorang lelaki disyaki pengebom berani mati memakai vest berisi bahan letupan sebelum menghampiri Kaabah.








