am@hmetro.com.my

Shah Alam: Management and Science University (MSU) terus mengukuhkan kedudukannya di pentas pendidikan tinggi global apabila melonjak ke kelompok 501-550 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings (WUR) 2027.

Pencapaian ini menandakan peningkatan untuk tahun ketiga berturut-turut, MSU selepas berada dalam kelompok 801-1,000 dunia pada 2025 sebelum meningkat ke kelompok 601-800 pada 2026.

Penarafan THE WUR 2027 menilai 2,297 institusi pendidikan tinggi dari 118 negara, menjadikan pencapaian MSU sebagai satu lagi pengiktirafan terhadap prestasi dan daya saing institusi di peringkat antarabangsa.

THE World University Rankings yang berpangkalan di United Kingdom ini adalah sistem penarafan universiti berteraskan penyelidikan yang menilai lima indikator utama iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri, dan Pandangan Antarabangsa.