KUALA LUMPUR: Peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 bagi tahun taksiran 2027 dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna golongan pertengahan (M40) dan membantu meringankan tekanan kos sara hidup.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustaza Mansor, berkata langkah itu memberi kelegaan kepada golongan M40 yang tidak menerima bantuan tunai secara langsung seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Beliau berkata, peningkatan had pelepasan cukai itu membolehkan pendapatan yang dikenakan cukai dikurangkan, sekali gus berpotensi mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.
"Sekurang-kurangnya pelepasan cukai yang dinaikkan ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka, yang membolehkan mereka menyusun semula perbelanjaan," katanya mengulas Belanjawan 2027 menerusi program khas di TV3.








