kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pelanggan domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggunakan antara 601 hingga 800 kilowatt-jam (kWj) pada September lalu akan menerima pelarasan secara pro rata bagi caj tertentu dalam bil Oktober 2026.
TNB dalam kenyataan hari ini berkata, pelarasan itu susulan keputusan kerajaan pada 17 September lalu untuk meningkatkan aras perlindungan pelanggan domestik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan.
Menerusi peningkatan aras perlindungan itu, pelanggan domestik dengan penggunaan sehingga 800 kWj sebulan bagi tempoh September hingga 31 Disember 2026 akan menikmati pengecualian sepenuhnya daripada Caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Caj Peruncitan RM10 dan Cukai Perkhidmatan lapan peratus.






