Johor Bahru: Kewujudan puluhan premis yang dipercayai diusahakan warga asing di sekitar Jalan Kenanga 3, Taman Desa Cemerlang, mencetuskan kebimbangan penduduk yang mahu status lesen dan pematuhan syarat perniagaan di kawasan itu diperiksa pihak berkuasa.
Penduduk, Ariani Marisah Abd Latif berkata, pelbagai jenis perniagaan dipercayai dikendalikan warga asing di kawasan berkenaan, termasuk kedai gunting rambut, gerai sirih, kedai jahit, kedai runcit dan gerai makanan ringan.
Menurutnya, antara persoalan utama penduduk ialah sama ada semua peniaga berkenaan mempunyai lesen sah dan mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
"Mereka bebas mengiklankan perniagaan dengan menggunakan bahasa ibunda mereka bagi menarik perhatian pelanggan terdiri daripada warga asing.






