KUALA LUMPUR: Operasi umrah Malaysia tidak terjejas susulan serangan di Riyadh, Arab Saudi kerana kebanyakan penerbangan jemaah umrah dari negara ini menggunakan laluan terus ke Jeddah dan Madinah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, Riyadh bukan satu-satunya hab penerbangan di Arab Saudi kerana terdapat beberapa lapangan terbang utama lain, termasuk Jeddah, Madinah, Taif dan Dammam.

"Biasanya penerbangan mana-mana syarikat penerbangan yang membawa jemaah umrah akan mengambil laluan ke Jeddah atau Madinah.

"Bagi penerbangan yang menggunakan laluan transit melalui Riyadh, syarikat penerbangan masih mempunyai pilihan untuk mengubah laluan ke destinasi lain jika keadaan memerlukan," katanya ketika dihubungi semalam.