LIVERPOOL: Penyerang Manchester City, Erling Haaland menegaskan skuadnya akan terus bersatu selepas kemenangan 3-0 ke atas Liverpool yang beraksi dengan 10 pemain, ketika kelab itu berdepan isu pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Haaland membuka jaringan di Anfield awal pagi tadi sebelum Jeremy Doku dan Rayan Cherki menambah gol bagi memastikan City menundukkan Liverpool, sekali gus mendiamkan sorakan penyokong tuan rumah yang mengejek mereka susulan keputusan siasatan terhadap kelab itu.
City tidak menunjukkan tanda terjejas dengan kecaman berkenaan dalam aksi pertama mereka selepas sebuah suruhanjaya bebas mendapati kelab itu bersalah melanggar lebih 100 peraturan kewangan.








