JEREBU kembali menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia. Sekolah ditutup, aktiviti luar dikurangkan dan keluarga yang mempunyai anak kecil serta warga emas semakin bimbang.

Episod ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa udara tidak mengenal sempadan. Asap daripada kebakaran di sesuatu kawasan boleh bergerak ratusan kilometer sebelum menjejaskan kesihatan penduduk di negara lain.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), 32 daripada 68 stesen pemantauan mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat tengah hari 10 Oktober 2026. Batu Pahat merekodkan 187; diikuti Tangkak (185); Larkin (184) dan Pasir Gudang (183).

Angka ini menunjukkan pengurusan jerebu tidak boleh bergantung kepada tindak balas selepas keadaan menjadi buruk. Kerajaan memerlukan maklumat tepat, pantas dan berasaskan lokasi.