SEVILLE: Pemain tengah Real Betis, Isco meledak satu gol di setiap babak ketika membantu pasukannya membelasah Osasuna 5-2 di laman sendiri, sekali gus melonjak ke tangga ketiga LaLiga, lima mata di belakang pendahulu, Barcelona dan satu mata mengatasi Real Madrid.

Isco membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-10 sebelum Abde Ezzalzouli menambah gol kedua menjelang rehat.

Betis kelihatan bakal mencatat kemenangan mudah apabila Diego Llorente meledak gol ketiga tiga minit selepas babak kedua bermula. Bagaimanapun, dua jaringan pantas pelawat menerusi Ante Budimir dan Raul Garcia merapatkan kedudukan kepada 3-2 pada minit ke-56.

Isco kemudian kembali melegakan pasukannya apabila menyambar bola muntah di dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menghasilkan gol keempat.