PETALING JAYA: Kenaikan had pembelian bebas cukai di Pulau Langkawi dan Labuan dengan syarat penginapan sekurang-kurangnya dua malam boleh menggalakkan pelancong melanjutkan tempoh percutian sekali gus meningkatkan perbelanjaan di premis perniagaan tempatan.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Hasan Mohamed Zakaria berkata, insentif berkenaan merupakan langkah yang tepat untuk merancakkan aktiviti pelancongan di kedua-dua pulau berkenaan.
Katanya, tempoh penginapan yang lebih panjang turut memberi manfaat kepada ekonomi setempat kerana pelancong berpeluang berbelanja lebih banyak di hotel, kedai makan serta perniagaan kecil yang diusahakan penduduk tempatan.








