KUALA LUMPUR: Potongan cukai sehingga RM5 juta bagi vendor automotif Malaysia yang berpindah ke Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak akan mempercepat pembangunan hab automotif itu serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan automotif serantau, menurut DRB-HICOM.

Di bawah Belanjawan 2027, syarikat vendor automotif milik tempatan sepenuhnya yang memindahkan operasi ke AHTV layak mendapat potongan cukai sehingga RM5 juta bagi perbelanjaan penempatan semula yang memenuhi syarat, yang ditanggung antara 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Syed Faisal Albar, berkata insentif itu adalah satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi jangka panjang AHTV untuk menjadi hab bagi kenderaan generasi baharu dan kenderaan cekap tenaga.