KUALA LUMPUR: Anggota tentera yang ditahan selepas didapati memiliki sepucuk pistol, puluhan butir peluru dan cecair disyaki ketum di kawasan parkir kenderaan di Kem Sungai Besi di sini pada 29 September lalu kini dalam tempoh peralihan untuk bersara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati status lelaki tersebut dalam peralihan daripada anggota tentera ke orang awam.
“Dia memang dalam peralihan. Maknanya memang dah masuk masa untuk bersara, peralihan antara sebagai anggota menjadi orang awam.
“Maka dia ada tempoh enam bulan itu, dia melalui satu tempoh peralihan. Jadi, dia dalam peralihan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira Kementerian Pertahanan di sini hari ini.








