PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di tiga negeri sehingga pukul 3 petang ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan, negeri terlibat adalah Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“Ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di Kedah (Langkawi, Baling, Kulim, Bandar Baharu, Sik dan Kuala Muda) dan seluruh Pulau Pinang.

“Sementara di Perak, melibatkan Larut Matang, Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Manjung, Kerian, Perak Tengah dan Bagan Datuk,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir bagi kawasan terlibat dan ia adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE