KUALA LUMPUR – Pengurusan kes semakan kehakiman Badan Peguam yang mencabar keputusan pendakwa raya menghentikan prosiding 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini ditetapkan pada 14 Jun tahun hadapan.Hakim, S Indra Nehru menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan memberitahu, prosiding rayuan Peguam Negara (AG) dan Timbalan Perdana Menteri berusia 73 tahun berkenaan, akan didengar di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.Semasa prosiding, peguam, Abhilaash Subramaniam yang mewakili Badan Peguam berkata, AG dan pemimpin UMNO itu selaku responden berjaya mendapatkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan pada Khamis minggu lalu.Bagaimanapun, beliau berkata, tarikh pendengaran merit rayuan belum ditentukan dan proses itu dijangka mengambil masa beberapa bulan bagi melengkapkan rekod rayuan serta memfailkan hujahan bertulis."Saya mohon tarikh pendengaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi ditetapkan selepas prosiding rayuan di mahkamah tertinggi negara selesai," katanya.Pada prosiding itu, AG diwakili Peguam Persekutuan, Safiyyah Omar sementara Ahmad Zahid diwakili peguam, Datuk Guok Ngek Seong.Pada 4 September 2023, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, memberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada Presiden UMNO berkenaan, berhubung kes terbabit.Beliau membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan menyatakan hasrat untuk menghentikan prosiding bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.Bagaimanapun, Badan Peguam kemudiannya memohon semakan kehakiman bagi mencabar keputusan itu, termasuk mendapatkan deklarasi mahkamah bahawa keputusan berkenaan terbatal dan tidak sah.Mengikut pertuduhan, Ahmad Zahid yang ketika itu Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berdepan 47 pertuduhan, iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan itu untuk membuat enam pembayaran kad kredit persendirian, membayar polisi insurans dan lesen kenderaan persendirian, membuat kiriman wang kepada sebuah firma guaman serta memberikan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 hingga 23 Disember 2016.