KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, hari ini menyeru barisan kepimpinan agar berani bertindak sebelum konsensus dicapai sepenuhnya, menanggung kos jangka pendek demi kebaikan jangka panjang dan membina pakatan yang mampu bertahan melangkaui tempoh mana-mana mandat bagi menangani isu batasan planet dan krisis alam sekitar.

Baginda bertitah, tindakan bermakna memerlukan kejujuran terhadap halangan yang wujud, perhatian kepada komuniti yang sedang berdepan dengan perubahan alam sekitar serta kerjasama merentasi bidang sains, kewangan, perundangan, agama dan sektor lain.

"Hal ini menuntut kepimpinan yang bersedia bertindak sebelum konsensus dicapai sepenuhnya, menanggung kos jangka pendek demi manfaat jangka panjang dan mewujudkan pakatan yang mampu bertahan melebihi tempoh mana-mana mandat," titah baginda pada perasmian Global Tipping Points Conference 2026, di sini hari ini.