KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 dijangka memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi, khususnya bagi syarikat yang mahu menjadikan negeri itu pangkalan operasi serantau, menerusi insentif cukai, pembangunan bakat serta penambahbaikan kesalinghubungan dan perumahan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB), Datuk Idzham Mohd Hashim, berkata langkah itu membuka peluang untuk mempercepatkan realisasi pelaburan, khususnya dalam ekosistem perniagaan strategik di Iskandar Puteri, sekali gus merangsang pewujudan pekerjaan berkualiti dan mengukuhkan rantaian bekalan tempatan.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 menyediakan instrumen penting bagi meningkatkan daya saing Johor dalam menarik fungsi perniagaan serantau bernilai tinggi.









