KUALA LUMPUR: Masih aktif berlakon, Lana Nordin, 46, lebih selektif menimbang tawaran dengan mengutamakan naskhah yang tidak menuntut komitmen penggambaran terlalu panjang.
Lana atau nama sebenar, Mazlina Hassan Nodin berkata, pada fasa kehidupannya sekarang, dia tidak lagi mengejar populariti, sebaliknya mahu terus berkarya demi kepuasan diri selain mencari rezeki.
Katanya, meskipun masih menerima tawaran lakonan, tumpuan turut diberi kepada keluarga dan beberapa urusan lain, termasuk berpindah rumah serta mengusahakan perniagaan baharu.
"Sebenarnya tawaran ada. Saya baru habis penggambaran dua drama. Insya-Allah, Ramadan ini keluar drama saya di TV3. Cuma, sekarang, saya banyak habiskan masa dengan keluarga sebab saya sedang pindah rumah, buat bisnes baharu dan tolong suami. Dia baru dilantik menjadi Pengarah Pasukan Bola Tampar Malaysia.






