KUANTAN – Cubaan kali pertama dua lelaki menjadi transporter (penyeludup) untuk menghantar dadah dari utara ke negeri ini berjaya dipatahkan selepas mereka ditahan dalam serbuan di sebuah inap desa di Maran Isnin lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, suspek berusia 30 dan 44 tahun itu ditahan ketika memindahkan empat beg berisi dadah dari sebuah kenderaan kira-kira pukul 1.20 pagi.
“Hasil pemeriksaan terhadap empat beg berkenaan menemukan 56 bungkusan ganja yang dianggarkan seberat 58 kilogram bernilai RM174,000.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 28 September hingga 4 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama selepas saringan awal air kencing mereka didapati positif methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.








