KUANTAN: Polis menahan dua lelaki yang mempunyai pertalian ipar dan merampas 58.1 kilogram (kg) dadah disyaki jenis ganja bernilai RM174,000 di hadapan inap desa di Maran, pada 28 September lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata suspek berusia 30 dan 44 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Maran selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika mengalihkan empat beg dari kenderaan pada jam 1.20 pagi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemukan 56 bungkusan dadah dipercayai ganja seberat 58.1 kilogram.
"Siasatan mendapati nilai pasaran dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM174,000 atau nilai pasaran terkini berjumlah RM3,000 satu kilogram.
"Jika dadah ini terlepas di pasaran, ia mampu merosakkan seramai 116,272 individu yang menggunakannya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.






