Toyama, Jepun: Polis Wilayah Toyama sedang giat mengesan seorang pencuri bersiri yang menyasarkan kasut milik pelajar perempuan di bangunan sekolah menengah, lapor Tokyo Reporter.
Siri kejadian pelik itu menyaksikan suspek bertindak mengoyak dan mencuri lapik dalam kasut mangsa di sekurang-kurangnya 14 buah sekolah.
Sejak tahun akademik lalu, jumlah sekolah yang menjadi sasaran jenayah berkenaan terus meningkat.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 35 pelajar perempuan dari 13 sekolah menengah termasuk Sekolah Menengah Takaoka Minami, Takaoka dan Toyama Minami, menjadi mangsa kecurian berkenaan.
Penyiasat mengesan corak membimbangkan apabila mangsa kebanyakannya terdiri daripada pelajar perempuan yang nama dan profil mereka pernah disiarkan di internet susulan pencapaian cemerlang dalam aktiviti kelab atau kemunculan di televisyen.






