PETALING JAYA: Malaysia hampir pasti berada dalam Balang 3 menjelang cabutan undi pusingan kelayakan Piala Dunia 2030/Piala Asia 2031, sekali gus meletakkan Malaysia bakal berdepan pasukan gergasi Asia.
Selain Malaysia, Indonesia dan juga Filipina turut dijangka berada dalam Balang 3, manakala satu lagi posisi dalam balang berkenaan diperuntukkan untuk pemenang bagi aksi pusingan pertama kelayakan.
Sementara itu, dua kuasa utama ASEAN, Thailand dan Vietnam berada dalam Balang 2 berdasarkan kedudukan ranking semasa, namun segalanya boleh berubah selepas jendela aksi antarabangsa pada bulan depan.
Balang 4 pula akan diisi pemenang pusingan pertama kelayakan dengan 10 pemenang peringkat itu akan bersaing dengan 26 pasukan lain dalam sembilan kumpulan untuk merebut slot ke pusingan ketiga.









